Wednesday, August 6, 2008

Perutusan Isra' Mikraj

Firman Allah Taala yang bermaksud:-

Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Kita kini sedang berada di bulan Rejab yang telah mencatatkan suatu peristiwa penting di mana pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas selepas kenabian Rasulullah s.a.w dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah nabi s.a.w ke Madinah Munawwarah, telah berlaku peristiwa isra' dan mikraj yang merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah dalam memperjalankan diri Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram Mekah ke Masjidil Aqsa Baitul Maqdis Palestin dan seterusnya nabi di angkat ke langit untuk bertemu Allah dalam masa yang begitu singkat.

Peristiwa yang telah membongkarkan tentang keimanan serta keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad s.a.w. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi. Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat di mana ada yang terus membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa persoalan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam

Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Tolib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah di mana jika kita perkirakan dari segi logik akal maka Islam pasti akan terkubur tetapi kuasa Allah melebihi segala-galanya di mana selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, nabi telah dihiburkan dengan Isra’ dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada diperintah kepada memerintah. bersuara menegur kesesatan dan kezaliman pemimpin. Islam tidak mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata akan tetapi Islam itu bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri. Islam juga bukan tersebar atas paksaan tetapi ia mampu menawan hati manusia dengan keadilan dan keindahan seluruh sistemnya sehingga tawaran kesenangan dunia dengan sendiri akan ditolak apabila semangat Islam telah menguasai diri seseorang. Kekuatan aqidah inilah yang menjadi musuh kepada mereka yang melawan Islam daripada golongan kuffar dan munafik.

Oleh yang demikian itu, marilah sama-sama kita menghayati peristiwa perjalanan isra’ dan mikraj ini. Penghayatan yang mampu menambahkan lagi rasa yakin serta taat kita kepada junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w. Mudah-mudahan, kita semua dirahmati olehnya insyaAllah.

Wassalam.

Mohd Ikram Bin Ahmad Badarddin
Timbalan Presiden
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman
Sesi 2008 / 2009

No comments: