Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar…
Setinggi-setinggi kesyukuran dihulurkan kepada yang maha esa kerana dengan limpah kurniaNya masih memberi peluang kepada kita pada tahun ini untuk sekali lagi meraikan hari kemenangan yang sentiasa kita raikan setelah sebulan kita menempuh dan menunaikan perintah dariNya di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan kemuliaan.
Selawat serta salam kepada junjugan besar Nabi Muhammad s.a.w kerana dengan pengorbanan dan perjuangan bagindalah kita sebagai umat Islam, masih lagi dapat merasa dua nikmat kurniaan Ilahi yang akan memandu kita ke pintu syurga Allah taala, iaitu iman dan islam. Sebagaimana firman Allah taala yang bermaksud :-
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam."
( Surah Al-Imran : Ayat 102 )
Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan dan kegembiraan bagi umat islam di seluruh pelusuk dunia, Hari yang dikurniakan Allah taala untuk meraikan kejayaan kita setelah sebulan menunaikan perintahNya dengan menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadhan demi membuktikan akan keimanan dan kemampuan kita melaksanakan perintahNya.
Kedengaran laungan takbir dan tahmid bergema di seluruh ruang angkasa bumi umat islam menandakan seruan perhambaan diri kepadaNya di pagi hari kemenangan dan menunjukkan bahawa kita adalah selemah-lemah hamba ciptaanNya. Seluruh umat islam yang mengakui diri beriman kepada Allah taala tunduk mempersembahkan diri berysukur kepadaNya sama ada miskin kaya, kuat lemah, tinggi rendah semuanya tunduk tersungkur memperhambakan diri kepada Allah taala.
Berlalunya Ramadhan merupakan satu kesedihan bagi umat islam yang beriman dan cintakan kepada Allah taala. Bulan Ramadhan merupakan bulan penuh keberkatan dan kerahmatan berbanding dengan bulan-bulan yang lain, tetapi janganlah kita berpegang dan menyangka bahawa hanya di bulan Ramadhan sahaja adalah waktu untuk kita mengerjakan amalan mahmudah. Bahkan tetapkanlah amalan mahmudah di bulan Ramadhan sehingga berterusan di bulan-bulan yang lain.
Disamping kita bergembira di hari kemenangan ini, perlulah kita ingat akan sahabat-sahabat kita yang tidak semampu dengan kita. Mereka yang telah kehilangan keluarga, mereka yang kehilangan ayah, mereka yang kehilangan ibu, mereka yang kehilangan adik beradik, mereka meraikan hari yang sepatutnya menjadi hari kegembiraan bertukar menjadi hari yang penuh dengan kepiluan. Kerana di hari ini mereka tidak dapat bersama orang yang tersayang, membuktikan kekuasaan Allah yang maha penyayang.
Namun di sana masih lagi terdapat sahabat-sahabat kita yang tidak dapat meraikan hari kegembiraan ini seperti kita. Seperti sahabat-sahabat kita yang berada di bumi Palestin, setiap hari mereka ditindas oleh pihak yang mengkufuri Allah taala. Sesungguhnya mereka amat zalim terhadap sahabat-sahabat kita yang digelar pejuang agama Allah yang sanggup menjadikan diri sebagai penahan dan pelindung bagi agama Allah dan kita meyakini bahawa mereka adalah golongan yang dijanjikan Allah akan syurgaNya.
Setiap hari bumi Palestin dihujani peluru-peluru sesat yang tidak mengenali akan sasarannya. Seluruh jasad manusia sama ada lelaki, perempuan, orang-orang tua dan kanak-kanak ditenggelami dengan peluru-peluru yang dilepaskan oleh pihak celaka dan tidak berperikemanusiaan, akhirnya gelaran syahid yang diimpikan selama ini menjadi satu kenyataan di sisi mereka. Kita mendoakan agar islam di bumi Palestin akan terus berkekalan dan kita juga sebagai umat islam turut melaknat Israel yang berterusan menzalimi sahabat-sahabat kita di Palestin.
Oleh itu, di samping kegembiraan kita ini janganlah kita leka dan abaikan sahabat-sahabat kita yang berhajat kepada pertolongan kita. Mereka juga inginkan kehidupan yang sempurna seperti kita lalui sekarang, bantulah mereka dengan sedaya upaya kita sama ada pertolongan kita itu berbentuk harta benda, kewangan dan yang paling penting jikalau kita tidak mampu membantu mereka secara zahiriyah maka bantulah dengan mendoakan mereka. Semoga aidilfitri yang kita raikan ini menjadi hari kegembiraan kita bersama.
Disamping itu juga, janganlah kita terlalu leka dengan kegembiraan yang diraikan ini. Semoga ianya menjadi satu muhasabah kepada diri kita yang selalu lalai dan leka dari mengsyukuri nikmat kurniaanNya.
Akhirnya, dikesempatan yang ada ini saya mewakili pihak PERMAYA ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang turut membantu dan menyumbang segala kerjasama sama ada berbentuk tenaga, kewangan dan sebagainya dalam menjayakan gerak kerja PERMAYA sepanjang tempoh hampir setengah penggal di bawah tampuk kepimpinan PERMAYA sesi 2007 / 2008. Semoga segala sumbangan dan jasa keringat yang dihulurkan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah taala.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar...
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR & BATIN
Oleh :
Mohd Fadhli Rahmi bin Zulkifli
Setiausaha Agung PERMAYA
Sesi 2007 / 2008
Dipetik daripada laman web PERMAYA
Friday, October 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment