Wednesday, August 6, 2008

Perutusan Isra' Mikraj

Firman Allah Taala yang bermaksud:-

Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Kita kini sedang berada di bulan Rejab yang telah mencatatkan suatu peristiwa penting di mana pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas selepas kenabian Rasulullah s.a.w dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah nabi s.a.w ke Madinah Munawwarah, telah berlaku peristiwa isra' dan mikraj yang merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah dalam memperjalankan diri Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram Mekah ke Masjidil Aqsa Baitul Maqdis Palestin dan seterusnya nabi di angkat ke langit untuk bertemu Allah dalam masa yang begitu singkat.

Peristiwa yang telah membongkarkan tentang keimanan serta keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad s.a.w. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi. Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat di mana ada yang terus membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa persoalan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam

Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Tolib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah di mana jika kita perkirakan dari segi logik akal maka Islam pasti akan terkubur tetapi kuasa Allah melebihi segala-galanya di mana selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, nabi telah dihiburkan dengan Isra’ dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada diperintah kepada memerintah. bersuara menegur kesesatan dan kezaliman pemimpin. Islam tidak mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata akan tetapi Islam itu bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri. Islam juga bukan tersebar atas paksaan tetapi ia mampu menawan hati manusia dengan keadilan dan keindahan seluruh sistemnya sehingga tawaran kesenangan dunia dengan sendiri akan ditolak apabila semangat Islam telah menguasai diri seseorang. Kekuatan aqidah inilah yang menjadi musuh kepada mereka yang melawan Islam daripada golongan kuffar dan munafik.

Oleh yang demikian itu, marilah sama-sama kita menghayati peristiwa perjalanan isra’ dan mikraj ini. Penghayatan yang mampu menambahkan lagi rasa yakin serta taat kita kepada junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w. Mudah-mudahan, kita semua dirahmati olehnya insyaAllah.

Wassalam.

Mohd Ikram Bin Ahmad Badarddin
Timbalan Presiden
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman
Sesi 2008 / 2009

Saturday, October 20, 2007

Rintihan Seorang Hamba

Wahai tuhan ku tak layak ke syurgaMu

Namun tak pula aku sanggup ke nerakaMu

Ampunkan dosaku terimalah taubatku

Sesungguhnya engkaulah pengampun dosa-dosa besar


الهى لست للفردوس اهلا

ولا اقوى على النار الجحيم

فهب لي توبة واغفرذنوبي

فانك غافر الذنب العظيم


Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai

Dengan rahmatMu ampunkan daku oh tuhanku

Wahai tuhan selamatkan kami ini

Dari segala kejahatan dan kecelakaan

Kami takut kami harap kepadaMu

Suburkanlah cinta kami kepadaMu


Kamilah hamba

Yang mengharap

Belas dariMu…



Friday, October 12, 2007

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1428 Hijrah

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar…

Setinggi-setinggi kesyukuran dihulurkan kepada yang maha esa kerana dengan limpah kurniaNya masih memberi peluang kepada kita pada tahun ini untuk sekali lagi meraikan hari kemenangan yang sentiasa kita raikan setelah sebulan kita menempuh dan menunaikan perintah dariNya di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan kemuliaan.

Selawat serta salam kepada junjugan besar Nabi Muhammad s.a.w kerana dengan pengorbanan dan perjuangan bagindalah kita sebagai umat Islam, masih lagi dapat merasa dua nikmat kurniaan Ilahi yang akan memandu kita ke pintu syurga Allah taala, iaitu iman dan islam. Sebagaimana firman Allah taala yang bermaksud :-

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam."
( Surah Al-Imran : Ayat 102 )


Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan dan kegembiraan bagi umat islam di seluruh pelusuk dunia, Hari yang dikurniakan Allah taala untuk meraikan kejayaan kita setelah sebulan menunaikan perintahNya dengan menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadhan demi membuktikan akan keimanan dan kemampuan kita melaksanakan perintahNya.

Kedengaran laungan takbir dan tahmid bergema di seluruh ruang angkasa bumi umat islam menandakan seruan perhambaan diri kepadaNya di pagi hari kemenangan dan menunjukkan bahawa kita adalah selemah-lemah hamba ciptaanNya. Seluruh umat islam yang mengakui diri beriman kepada Allah taala tunduk mempersembahkan diri berysukur kepadaNya sama ada miskin kaya, kuat lemah, tinggi rendah semuanya tunduk tersungkur memperhambakan diri kepada Allah taala.

Berlalunya Ramadhan merupakan satu kesedihan bagi umat islam yang beriman dan cintakan kepada Allah taala. Bulan Ramadhan merupakan bulan penuh keberkatan dan kerahmatan berbanding dengan bulan-bulan yang lain, tetapi janganlah kita berpegang dan menyangka bahawa hanya di bulan Ramadhan sahaja adalah waktu untuk kita mengerjakan amalan mahmudah. Bahkan tetapkanlah amalan mahmudah di bulan Ramadhan sehingga berterusan di bulan-bulan yang lain.

Disamping kita bergembira di hari kemenangan ini, perlulah kita ingat akan sahabat-sahabat kita yang tidak semampu dengan kita. Mereka yang telah kehilangan keluarga, mereka yang kehilangan ayah, mereka yang kehilangan ibu, mereka yang kehilangan adik beradik, mereka meraikan hari yang sepatutnya menjadi hari kegembiraan bertukar menjadi hari yang penuh dengan kepiluan. Kerana di hari ini mereka tidak dapat bersama orang yang tersayang, membuktikan kekuasaan Allah yang maha penyayang.

Namun di sana masih lagi terdapat sahabat-sahabat kita yang tidak dapat meraikan hari kegembiraan ini seperti kita. Seperti sahabat-sahabat kita yang berada di bumi Palestin, setiap hari mereka ditindas oleh pihak yang mengkufuri Allah taala. Sesungguhnya mereka amat zalim terhadap sahabat-sahabat kita yang digelar pejuang agama Allah yang sanggup menjadikan diri sebagai penahan dan pelindung bagi agama Allah dan kita meyakini bahawa mereka adalah golongan yang dijanjikan Allah akan syurgaNya.

Setiap hari bumi Palestin dihujani peluru-peluru sesat yang tidak mengenali akan sasarannya. Seluruh jasad manusia sama ada lelaki, perempuan, orang-orang tua dan kanak-kanak ditenggelami dengan peluru-peluru yang dilepaskan oleh pihak celaka dan tidak berperikemanusiaan, akhirnya gelaran syahid yang diimpikan selama ini menjadi satu kenyataan di sisi mereka. Kita mendoakan agar islam di bumi Palestin akan terus berkekalan dan kita juga sebagai umat islam turut melaknat Israel yang berterusan menzalimi sahabat-sahabat kita di Palestin.

Oleh itu, di samping kegembiraan kita ini janganlah kita leka dan abaikan sahabat-sahabat kita yang berhajat kepada pertolongan kita. Mereka juga inginkan kehidupan yang sempurna seperti kita lalui sekarang, bantulah mereka dengan sedaya upaya kita sama ada pertolongan kita itu berbentuk harta benda, kewangan dan yang paling penting jikalau kita tidak mampu membantu mereka secara zahiriyah maka bantulah dengan mendoakan mereka. Semoga aidilfitri yang kita raikan ini menjadi hari kegembiraan kita bersama.

Disamping itu juga, janganlah kita terlalu leka dengan kegembiraan yang diraikan ini. Semoga ianya menjadi satu muhasabah kepada diri kita yang selalu lalai dan leka dari mengsyukuri nikmat kurniaanNya.

Akhirnya, dikesempatan yang ada ini saya mewakili pihak PERMAYA ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang turut membantu dan menyumbang segala kerjasama sama ada berbentuk tenaga, kewangan dan sebagainya dalam menjayakan gerak kerja PERMAYA sepanjang tempoh hampir setengah penggal di bawah tampuk kepimpinan PERMAYA sesi 2007 / 2008. Semoga segala sumbangan dan jasa keringat yang dihulurkan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah taala.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar...

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR & BATIN

Oleh :

Mohd Fadhli Rahmi bin Zulkifli
Setiausaha Agung PERMAYA
Sesi 2007 / 2008


Dipetik daripada laman web PERMAYA

Saturday, August 25, 2007

Salam Sejahtera

Salam Pertemuan kembali buat sahabat-sahabat bloggerz dan para pengunjung yang dirahmati Allah taala sekalian.

Pertamanya ingin diri ini menyusun tutur kata melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga dan tidak terbilang kepada Allah s.w.t kerana dengan Maha KuasaNya masih menganugerahkan hambaNya yang lemah ini kemampuan dalam mencari pengisian untuk dimuatkan ke dalam blog sepanjang tempoh tiada keupayaan untuk meneruskan aktiviti rutin harian seperti biasa.

Walaupun dalam keadaan yang lemah tetapi Allah tetap memberi kemampuan kepada diri ini untuk menggagahi setiap gerakan lemah jemari ku ini. Namun apa yang diri ini harap adalah keberkatan dan keredhaan dariNya. Untuk sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian diri ini ingin memohon jutaan kemaafan sebab blog ini sudah lama tidak diupdate.

Mungkin ada di antara kita yang datang melawat blog ini rasa boring akan tapi kali ini insyaAllah dengan keinzinan dariNya, diri ini akan cuba untuk terus bersama sahabat-sahabat dan sentiasa mengupdate blog ini demi meneruskan dakwah islam melalui alam siber teknologi dan maklumat ini.

Dan diri ini merasa belum terlambat untuk ucapkan salam ziarah dan selamat datang kepada semua yang pernah malayari laman blogspot ini. Diri ini juga terlalu mengharapkan sebarang komentar dan cadangan yang membina dari sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama membantu dalam menyebarkan dakwah ini.

Jikalau sahabat-sahabat mempunyai sebarang komentar dan cadangan sila lah masuk kat shoutbox tu yer, tak yah lah nak segan-segan silu lak yer. Segala komentar dan cadangan dari sahabat diucapkan jazakumullahu khairan jaza’.
Untuk akhirnya SALAM PERTEMUAN DAN ZIARAH....